Sabtu, 17 Ogos 2013

TANGGUNGJAWAB GURU KELAS

Bidang Tugas:
1. Merekod dan mengemaskini butiran peribadi pelajar ke dalam buku jadual kedatangan, buku rekod mengajar, kad 001, kad 002 dan buku kemasukan sekolah.
2. Buku jadual kedatangan para pelajar hendaklah ditanda pada waktu yang pertama pada setiap hari belajar.
3. Memastikan pelajar membawa surat daripada ibu bapa penjaga atau surat doktor sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri di sekolah.
4. Bagi pelajar yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut dengan tiada memberi penjelasan dan sebab yang munasabah, guru darjah hendaklah mengirimkan surat amaran ponteng sekolah kepada penjaganya dengan satu salinan ke pejabat sekolah.
5. Sekiranya pelajar tidak hadir selama sebulan, namanya dikeluarkan dari buku jadual kedatangan. Kes-kes ini hendaklah dirujukkan kepada PK HEM terlebih dahulu.
6. Menjalankan pengurusan bilik darjah seperti pemilihan ketua darjah mengikut suara ramai dalam kelas, membuat giliran bertugas, giliran kebersihan, alat tulis, perhiasan kelas, kerusi meja berada dalam keadaan teratur dan menguruskan pertukaran pelajar.
7. Memungut yuran-yuran khas, yuran peperiksaan, sukan dan permainan dan mengeluarkan resit kepada pelajar dan merekodkannya ke dalam buku jadual kedatangan dan buku yuran.
8. Menyerahkan kira-kira pungutan yuran pada masa yang ditetapkan pihak sekolah.
9. Menguruskan pengagihan dan pemulangan Skim Pinjaman Buku Teks kepada pelajar dan memungut buku daripada pelajar yang hendak bertukar ke sekolah lain.
10. Membantu Guru Besar dalam pengurusan biasiswa, mengirim surat-surat jemputan kepada ibu bapa, sijil berhenti sekolah dan surat akuan.
11. Mengisi butiran semua ujian dengan lengkap untuk dikaji dan dianalisis.
12. Mengambil, menyalin dan menyemak jadual waktu kelas masing-masing dan memberitahu pelajar.
13. Bertanggungjawab terhadap disiplin pelajar dalam kelasnya dan menanam semangat rajin, tekun, dedikasi, berusaha dan kesedaran sivik.
14. Melaporkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan oleh guru kepada guru PK HEM seperti ketidakhadiran, ponteng yang berulang, kesulitan memungut yuran dan masalah disiplin lain.
15. Merekodkan butiran peribadi yang lengkap mengenai kemasukan pelajar baru dan mereka yang berhenti dalam Jadual Kedatangan, Buku Rekod Mengajar dan Buku Daftar Kemasukan Pelajar.
16. Bagi kelas-kelas peperiksaan adalah penting baginya untuk mengisi borang masuk peperiksaan. Mereka juga perlu memungut yuran peperiksaan dan membantu menyusun kerusi meja.
17. Mengisi butiran kemajuan akademik pelajar ke dalam Buku Kemajuan di samping menyediakan tabung markah atau mark sheet.
18. Bertanggungjawab terhadap keselamatan perabot dan kebersihan kelasnya.
19. Menyediakan senarai tugas bagi pelajar dalam kelasnya untuk tugas pembersihan kelas pada tiap-tiap hari persekolahan.
20. Berada di samping pelajarnya semasa pelajar beratur di kaki lima kelas dan pada masa perhimpunan hari biasa.
21. Memastikan papan kenyataan kelas ditampalkan dengan makalah-makalah, maklumat dan berita-berita yang positif, membina dan terkini.
Dalam tiap-tiap peperiksaan sekolah, guru mata pelajaran harus memberi markah kepada guru-guru kelas untuk meringankan beban tugas guru.

SEMUA GURU ADALAH GURU DISIPLIN

MENTERJEMAHKAN MAKSUD SEMUA GURU ADALAH GURU DISIPLIN

Ketika masalah disiplin semakin meningkat dan bilangan kes mahkamah melibatkan guru bertambah menjadikan jawatan guru disiplin bukanlah sesuatu yang diingini.Ramai guru yang merungut dan tidak berpuas hati dengan mutu disiplin pelajar hari ini, namun lebih ramai yang cuba mengelak daripada menerima jawatan Guru Disiplin. Guru Disiplin merupakan guru yang paling tidak popular di sekolah dan hampir semua pelajar ingin menjauhinya. Tetapi jika seseorang tidak mengambil tanggungjawab ini, siapakah lagi guru yang kita diharapkan. Tidak mungkin sekolah dibiarkan berjalan tanpa kawalan disiplin. Keadaan seperti ini tentulah tidak sepatutnya berlaku. Walaupun seseorang ditugaskan secara rasmi sebagai Guru Disiplin, sepatutnya semua guru menyedari bahawa mereka semua adalah guru disiplin. Sepatutnya guru-guru lebih bersimpati dengan beban tugas yang terpaksa dipikul oleh Guru Disiplin. Simpati mereka boleh ditunjukkan melalui kerjasama yang mereka tunjukkan untuk membantu mengawal disiplin di sekolah. Guru kelas sebagai contoh merupakan guru yang bertanggungjawab menjaga disiplin di dalam kelas masing-masing, di tapak perhimpunan dan semasa roll call. Begitu juga guru mata pelajaran yang masuk ke dalam kelas mengikut jadual yang ditetapkan turut memainkan peranan sebagai guru disiplin dalam tempoh 40 atau 80 minit waktu P & P mereka. Guru PJK sewaktu mengajar PJK di padang atau di gelanggang adalah guru disiplin. Begitu juga halnya dengan Guru Kantin mereka adalah guru disiplin sewaktu rehat. Jelasnya semua guru tanpa membezakan jenis dan fungsi mereka adalah guru disiplin. Jika semua guru menggunakan fungsi mereka untuk mengekang masalah disiplin daripada berlaku saya kira tidaklah Guru Disiplin terbeban berseorangan dengan masalah pelajar.
PENGURUSAN HEM © Saidi Liasan G Ogos 2013:
  • Ke Laman Utama